Kastam Diraja Malaysia membuat lebihan bayaran tuntutan GST bagi 2019 berjumlah RM4.38 juta.
NASIONAL

Proses tuntutan semula GST tidak efisien

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 19 JULAI: Walaupun pembekal di setiap peringkat boleh membuat tuntutan semula pembayaran Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), namun ia jelas gagal menghalang kenaikan berganda harga barangan di peringkat pengguna.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, hal ini ekoran proses tuntutan yang mengambil masa panjang memberi masalah besar aliran tunai operasi peniaga.

“Akibatnya, kos perniagaan meningkat dan kos ini akan terpaksa ditanggung pengguna dalam bentuk harga barangan dan perkhidmatan yang lebih tinggi.

“Saya akan mendedahkan pada masa akan datang berkenaan punca sebenar di sebalik kegagalan kerajaan terdahulu melakukan pembayaran balik GST kepada rakyat dengan cepat serta tepat pada masanya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Bangunan Parlimen, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) hanya dikenakan pada satu peringkat iaitu pengeluar sahaja.

Katanya, Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) amat komited mencari jalan terbaik bagi mengurangkan beban kewangan rakyat khususnya mereka yang terkesan dengan kos sara hidup tinggi.

“Dengan melaksanakan SST yang sudah ditambah baik, kerajaan PAKATAN mengembalikan semula jumlah kutipan cukai sekitar RM23 bilion kepada rakyat,” katanya.


Pengarang :