NASIONAL

SUHAKAM siasat dakwaan murid dicabul guru

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA LUMPUR, 16 JULAI: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) akan menyiasat segera dakwaan murid darjah empat dicabul guru di sebuah sekolah, di Ampang.

Pesuruhjayanya, Datuk Lok Yim Pheng berkata, hal itu kerana pihaknya memandang serius isu pencabulan kanak-kanak, terutama di sekolah.

Katanya, pihak sekolah juga sepatutnya menyelesaikan masalah berkenaan dengan profesional.

“SUHAKAM akan buat siasatan segera memandangkan kanak-kanak ini perlu ke sekolah untuk belajar.

“Ini adalah tanggungjawab kita untuk memastikan keselamatan pelajar terjamin,” katanya ketika pertemuan bersama ibu dan bapa mangsa, di Pejabat SUHAKAM, di Menara TH Perdana, pagi tadi.

Pada pertemuan sama, Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) turut menyerahkan memorandum kes berkenaan kepada Yim Pheng mewakili SUHAKAM.

Projek Koordinator SUARAM, Mohamad Alshatri Abdullah berkata, isu terbabit dibawa kepada pihak mereka setelah ibu bapa mangsa gagal mendapat kerjasama sekolah.

Katanya, pelajar berusia 10 tahun itu mengalami ketakutan sehingga tidak dapat meneruskan persekolahannya dan sedang dalam urusan pertukaran ke sekolah lain.

“Kami mengharapkan kes ini dipandang serius dan diambil tindakan serta-merta bagi membolehkan pelajar terbabit menyambung pelajaran tanpa gangguan serta kerisauan.

“SUARAM juga mahu tindakan lebih pantas diambil pihak sekolah dan sepatutnya memberikan cuti serta-merta kepada guru yang dilaporkan melakukan gangguan seksual terhadap murid,” katanya.

Terdahulu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga memaklumkan akan memberi kerjasama penuh dengan polis berhubung siasatan kes pencabulan guru terhadap murid sekolah yang didedahkan aktivis sosial.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, KPM komited memastikan hak kanak-kanak sentiasa dipatuhi dan keselamatan mereka, terutama semasa berada di sekolah diutamakan semua pihak.


Pengarang :