SELANGOR

Syarikat akhbar mungkin tutup, pelajar komunikasi tidak perlu bimbang

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 25 JUL: Industri percetakan mengalami kemerosoton melampau sehingga menyebabkan beberapa buah syarikat akhbar gulung tikar.

Profesor Fakulti, Seni Visual dan Pengkomputeran (FKSVP) Universiti Selangor (UNISEL), Prof Dr Azmuddin Ibrahim berkata, bagaimanapun isu tersebut tidak sepatutnya membimbangkan mahasiswa yang sedang mengambil jurusan komunikasi khasnya.

“Kemahiran kewartawanan yang dipelajari mahasiswa di universiti mahupun kolej bukanlah melatih untuk mereka bekerja sebagai wartawan surat khabar semata-mata, sebaliknya kemahiran untuk industri kewartawanan ini cukup luas.

“Sekarang syarikat besar memerlukan jurucakap atau penulis yang pandai dalam bidang tersebut, jadi mereka memerlukan individu yang mahir dalam penulisan, disebabkan itu saya katakan graduan komunikasi tidak perlu bimbang,” katanya kepada SelangorKini.

Azmuddin turut menyampaikan Siri Syarahan Profesor bertajuk ‘Prophetic Journalism : the solution to unethical media?’ di Dewan Pro Canselor UNISEL pagi tadi.

Melalui syarahannya, beliau berkata, media sosial pada masa kini menjadi medium penting dalam penyebaran berita.

“Ada baik dan buruknya pada media sosial ini, jika dilihat pada sudut positif, kejadian Tsunami di Acheh pada 2004 membuatkan ramai yang menyebarkan berita itu dalam masa yang singkat sahaja sehingga membolehkan ramai sukarelawan berkumpul.

“Tetapi jika dari sudut negatif, ramai juga yang cuba menyebarkan berita palsu, sebaiknya sebelum kita menyebarkan berita biarlah cari kebenaran, janganlah menjadi penyebar kepada penipuan, sebaliknya kita jadilah orang yang cuba menghentikan penipuan,” katanya.


Pengarang :