NASIONAL

Tiada wujud hutang baru Kerajaan Persekutuan

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 25 JUL: Tiada hutang baru diwujudkan Kerajaan Persekutuan yang diterajui Pakatan Harapan (PAKATAN) setakat ini, kata Timbalan Menteri Kewangan, Dato’ Ir Amirudin Hamzah.

“Setahu saya belum wujud hutang sejumlah RM22 bilion seperti yang dinyatakan Yang Berhormat Pontian. Namun, saya minta supaya berikan tempoh untuk kita menyemak dahulu.

“Melainkan setakat ini angka yang ditinggalkan kepada kita merupakan hutang kerajaan dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta menjawab soalan dikemukakan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan pada sesi Waktu-Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas soalan Ahmad Maslan mengenai sama ada benar atau tidak Kerajaan Persekutuan baharu itu membuat hutang baharu sejumlah RM22 bilion berdasarkan maklumat yang dikeluarkan Bank Negara.

Sementara itu, Ir Amirudin turut mempertahankan penubuhan Tabung Harapan Malaysia itu bertujuan membantu kerajaan melangsaikan hutang negara.

“Untuk makluman Pontian, idea sumbangan tabung ini datang daripada rakyat. Seorang rakyat jumpa di Pejabat Perdana Menteri membawa dua keping RM50 untuk menyumbang bagi mengurangkan hutang negara.

“Selepas itu ramai rakyat secara sukarela memberi sumbangan kepada kerajaan. Jadi untuk pastikan tiada pihak ambil kesempatan terhadap sikap patriotik rakyat, maka kita tubuh tabung ini,” katanya.


Pengarang :