SELANGOR

“Tak mahu orang tengok saya sakit” pesan arwah pada isteri

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 3 JUL: Demi tidak ramai pihak melihatnya sakit, Allahyarham Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Kandis, Shuhaimi Shafiei menitipkan pesanan kepada isterinya supaya merahsiakan keadaan kesihatannya.

Isterinya, Jamilah Sahak, 44, berkata, tahap kesihatan suaminya didapati tidak stabil setelah kuman menjangkiti bahagian paru-parunya.

Katanya, arwah dirawat di hospital swasta di Subang Jaya, selama sebulan.

“Kami dimaklumkan doktor bahawa penyakit dihidapi arwah amat berisiko dan sukar diubati kerana jangkitan kuman merebak.

“Bagaimanapun, sejak dirawat di hospital berkenaan, saya lihat ada perkembangan positif pada dirinya. Doktor juga menempatkannya di wad biasa untuk menjalani rawatan susulan.

“Itu pun tidak lama, hanya lima hari sahaja dan perlu dipindahkan semula ke unit rawatan rapi kerana mengalami kesukaran bernafas,” katanya dalam nada sebak ketika ditemui pemberita, semalam.

Sementara itu, abangnya, Shamsuddin Shafiei,61, menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai suatu kehilangan besar buat keluarga.

“Saya amat terasa dengan kehilangannya, apatah lagi kami berdua ni memang rapat.

“Dan kali terakhir kami jumpa pada awal ramadan lalu,” katanya.

Jenazah disembahyangkan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sebelum selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, di sini, jam 4.30 petang semalam.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir jam 11.10 pagi semalam di Pusat Perubatan Subang Jaya akibat kanser limfoma.

 


Pengarang :