BERITA UTAMASELANGORSUKANKINI

Tampuk baru FAS mampu kembalikan kegemilangan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 10 JUL: Tampuk kepimpinan Persatuan Bola Sepak Negeri Selangor (FAS) yang kini diterajui Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, mampu memberikan nafas baru kepada pasukan Selangor dengan kerjasama Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Seorang peminat bola sepak Selangor, Mohd Fariq Abdul Rahman, dalam surat terbuka kepada Tengku Amir Shah dan Amirudin menyatakan, hasil buah fikiran dua pemimpin itu mampu mengembalikan kegemilangan bola sepak Selangor dengan corak pembangunan seperti dilakukan kelab Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Selangor sepatutnya menjadi peneraju permodenan bola sepak tempatan. Sebagai gergasi bola sepak sejak 1920an dan terus mekar pada era 80an dan 90an, Selangor seharusnya menjadi contoh kepada pengurusan bola sepak dan ditiru pasukan lain.

“Sebaliknya yang berlaku, FAS jauh ketinggalan di belakang Kelantan dan JDT. Mereka bukan sahaja berjaya menjenamakan semula pasukan, bahkan mempunyai keupayaan dalam aspek komersial pengurusan serta menambahbaik pendapatan,” katanya.

Katanya, kepimpinan FAS sebelum ini tidak mencerminkan kejayaan Selangor yang muncul juara Piala Malaysia sebanyak 33 kali selain menjadi pasukan pertama membawa nama Malaysia beraksi di Liga Juara-Juara Asia dan Kejohanan Konfederasi Sepak Bola Asia.

Mohd Fariq berkata, menjadi kerugian buat FAS jika tidak menggunakan keupayaan setiap individu khususnya menerusi perkongsian idea di bawah kepimpinan baharu.

Beliau turut menyambut baik keputusan Amirudin membenarkan Red Giants beraksi semula di Stadium Shah Alam sebagai lokasi tuan rumah yang menyimpan pelbagai memori selain mencadangkan FAS bekerjasama dengan pengurusan stadium untuk mewujudkan ikon atau simbol pasukan Selangor.

“Diharap FAS mengikut jejak langkah JDT memperoleh sebidang tanah dengan keluasan mencukupi untuk membina Ibu Pejabat FAS dan padang latihan dengan kelengkapan kemudahan tanpa perlu bergantung kepada pihak lain.

“Infrastruktur lengkap dan tersusun menjadi kunci kejayaan masa depan terutama mencungkil bakat baharu tambahan Tengku Amir Shah sudah menyatakan hasrat untuk mengembalikan pasukan Selangor ke pentas antarabangsa,” katanya.

=EZY=


Pengarang :