NASIONALPENDIDIKAN

UNISEL tubuh jawatankuasa bincang tukar status IPTA

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 25 JUL: Universiti Selangor (UNISEL) menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi mengkaji penukaran statusnya kepada Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Naib Canselornya, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, kajian dibuat melalui pelbagai sudut positif mahupun negatif.

“Sekiranya UNISEL bertukar dari status Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) kepada IPTA, sudah tentu ia membawa pelbagai kelebihan, namun kos yang tinggi membuatkan perkara terbabit perlu dikaji dengan lebih mendalam.

“Walaupun Selangor ini sebuah negeri yang kaya, namun kos bagi membiayai sebuah IPTA semakin meningkat saban tahun,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata, janji bagi melaksanakan UNISEL menjadi IPTA sudah dibuat pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) yang lalu.

“Disebabkan itu kita membuat kajian terlebih dahulu sebelum melaksanakannya, dan laporan kajian penukaran status ini akan diserahkan kepada Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik secepat mungkin.

“Seterusnya kementerian akan membuat penilaian semula terhadap kajian ini, sekiranya UNISEL berjaya menjadi sebuah IPTA, maka kita juga akan membuat program pendidikan percuma yang mana ia menelan belanja daripada RM10 juta hingga RM100 juta setahun.

“Kos ini bukan sahaja untuk pendidikan tetapi termasuk pembangunan, kos kakitangan dan sebagainya,” katanya.


Pengarang :