dav
PENDIDIKANSELANGOR

UNISEL jadi pilihan kembar seiras

OLEH SHEEDA FATHIL

BESTARI JAYA, 1 JUL: Universiti Selangor (UNISEL) menjadi pilihan adik beradik kembar seiras, Nurul Sahida Sulaiman dan Nurul Sahira Sulaiman seusai hadir ke Hari Terbuka UNISEL, pada Mac lalu.

Seawal jam 10 pagi, pasangan kembar dari Meru itu hadir ke UNISEL sambil ditemani ibu bapa mereka.

Menariknya, pasangan kembar itu mempunyai minat sama dalam bidang pendidikan, sekali gus memilih program Diploma Pendidikan Pengajian Pra Sekolah.

Mereka berkata, minat dalam bidang pendidikan bermula sejak di bangku sekolah apabila sering menjadi ‘cikgu’ untuk mengajar rakan dalam mata pelajaran Matematik, terutamanya.

Mengulas UNISEL sebagai universiti pilihan, Nurul Sahida mengakui kelebihan universiti itu berbanding institusi pengajian swasta lain meyakinkan mereka untuk mendaftar sebagai pelajar.

“Semasa hadir pada Hari Terbuka UNISEL, tenaga pengajar memberikan penerangan sangat jelas dan lengkap serta persekitaran tenang di sini juga membuatkan kami jatuh cinta.

“Selain itu, fasiliti disediakan lengkap membuatkan kami yakin UNISEL pilihan tepat dan mampu menjadi pelajar terbaik di sini,” katanya kepada SelangorKini.

dav

Sementara itu, Nurul Sahira berkata, sejak dulu lagi mereka mempunyai minat sama dan tidak boleh berpisah.

“Ibu dan ayah juga memang sudah faham kami tidak boleh berpisah, jadi kita ambil keputusan untuk melanjutkan pengajian di tempat sama.

“Walaupun kedua kami pernah ditawar melanjutkan pengajian di universiti awam (UA), namun disebabkan tempat berbeza kita terpaksa menolaknya dan memilih UNISEL,” katanya.

Ibu mereka, Noor Hairani Md Yusoff, 49, meletakkan keyakinan dan kepercayaan untuk menempatkan kedua anaknya itu di UNISEL apabila melihat persekitaran yang jauh dari hiruk pikuk kota.

“Walaupun menolak untuk masuk UA, saya faham dan menerima apa sahaja keputusan kerana memahami keadaan mereka yang sukar berpisah sejak dahulu lagi.

“Saya bertambah yakin apabila ada dalam kalangan saudara mereka pernah melanjutkan pengajian di sini dan bercerita berkenaan kemampuan UNISEL, terutama daripada segi tenaga pengajar, pengiktirafan serta kecemerlangan akademik,” katanya.

Terdahulu, Pengarah Komunikasi Korporat, Hasril Abu Hassan berkata, tarikh pendaftaran pelajar baru akan dilanjutkan bermula 30 Jun sehingga 13 Jul ini.

Mereka yang berminat boleh datang secara terus ke kampus pengajian Shah Alam atau Bestari Jaya atau hubungi pejabat Pemasaran dan Kemasukan di talian 03-55223400 atau 012-3401740 atau 011-33907681.


Pengarang :