NASIONAL

Amirudin serah borang pencalonan Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 5 OGOS: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari hari ini mengesahkan akan bertanding bagi merebut kerusi Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pada Pemilihan KEADILAN 2018.

Beliau menyerahkan borang pencalonannya kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) di Ibu Pejabat KEADILAN di Tropicana Merchant Square kira-kira jam 3.30 petang tadi.

Amirudin memulakan karier politiknya apabila terlibat aktif dalam sayap pemuda, Angkatan Muda Keadilan (AMK) pada tahun 2004.

Pada 2008, di saat kebanyakkan pihak pembangkang kurang berminat bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12), beliau merupakan antara anak muda yang berani tampil untuk bertarung menentang Barisan Nasional (BN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Caves.

Pada PRU itu, tanpa diduga anak muda yang ketika itu baru berusia 28 tahun berjaya menewaskan calon BN.

Sebagai Ahli Dewan Negeri yang masih muda, beliau terus terlibat aktif dalam pelbagai program melibatkan anak muda.

Beliau kemudiannya pada tahun 2014, diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab sebagai Exco Pembangunan Generasi Muda , Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan Negeri Selangor.

Kemudian pada 19 Jun lalu, beliau mara selangkah lagi apabila dilantik sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor yang ke-16 menggantikan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.


Pengarang :