SUKANKINI

Atletico Madrid juara Piala Super Eropah

OLEH AFIX REDZUAN

TALLINN, 16 OGOS: Atletico Madrid menewaskan musuh setempat yang juga bekas juara tiga kali berturut-turut Liga Juara-Juara Eropah, Real Madrid 2-4 untuk menjulang Piala Super Eropah awal pagi tadi.

Diego Costa menjadi watak penting meleburkan hasrat Real Madrid untuk meraih trofi pertama musim ini apabila meledak jaringan seawal minit pertama.

Karim Benzema menyamakan kedudukan 1-1 hasil tandukan pada minit ke-27 dan jaringan itu kekal sehingga penghujung babak pertama.

Real Madrid di hadapan buat pertama kali pada minit ke-63 apabila ketua pasukan, Sergio Ramos menyempurnakan sepakan penalti bagi kedudukan 2-1.

Bagaimanapun, Costa berjaya menampan bola ke gawang Real yang dikawal Keylor Navas pada minit ke-79 bagi mengikat kedudukan 2-2 dan mengheret permainan ke masa tambahan.

Dua jaringan masing-masing dari Saul Niguez dan Koke di masa tambahan memastikan Atletico selesa menewaskan Real 2-4 untuk menjulang trofi Piala Super Eropah.

 

Kredit Foto: Facebook UEFA Champions League


Pengarang :