BERITA UTAMANASIONAL

Dr Jomo: CEP serah laporan, tidak keperluan dedah kepada umum

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 28 OGOS: Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) telah menyerahkan laporan 100 hari pentadbiran kerajaan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, kata Prof Dr Jomo Kwame Sundaram.

Bagaimanapun katanya, tiada keperluan mendedahkannya kepada umum kerana tiada keperluan bagi tujuan berkenaan.

“Ia tidak perlu kerana kerajaan telah membuat keputusan dan sekiranya didedahkan pastinya orang ramai akan bercakap serta berbeza pendapat.

“Kita tidak berhasrat mendedahkanya kerana tugas kita hanya berkaitan membantu juga menasihati Perdana Menteri dan beliau akan membincangkanya bersama menteri berkenaan serta membuat keputusan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas forum ‘Industrial and Economic Policy In Malaysia Baharu’ di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia di sini, semalam.

Ahli ekonomi itu berkata, langkah mendedahkan laporan CEP kepada umum akan mengundang persepsi ramai dan ia pastinya pelbagai isu tidak diingini.

Katanya, tanggungjawab CEP hanya melakukan kajian dan memberi bantuan nasihat kepada Perdana Menteri juga kerajaan.

“CEP menyiapkan laporan dengan banyak perkara disentuh dalam membantu kerajaan dan sepatutnya ia tidak didedahkan kepada umum,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berpandangan mereka yang dilantik di dalam CEP masih bersedia membantu kerajaan sekiranya diperlukan.

“Kita boleh meneruskannya tetapi mungkin bukan lagi sebagai CEP. Sekiranya Dr Mahathir masih memerlukan bantuan anggota CEP, saya kira semuanya bersedia untuk membantu,” katanya.

Secara umum, katanya, CEP berakhir pada 17 Ogos lalu apabila genap 100 hari pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan.


Pengarang :