SELANGOR

Halimey fokus atasi cabaran dihadapi golongan B40

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PETALING JAYA, 20 OGOS: Calon Pakatan Harapan (PAKATAN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.32 Seri Setia, Halimey Abu Bakar menetapkan fokus utama untuk memberi perhatian khusus menyelami dan menangani cabaran dihadapi golongan B40.

Beliau berkata, kelompok yang rata-ratanya berpendapatan bawah RM3,000 sebulan itu sebahagian besarnya tinggal di beberapa kawasan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) terutama di pangsapuri kos rendah.

“Isu utama yang sering dihadapi mereka adalah berkaitan kemudahan lif dan pam air yang sering terganggu berpunca daripada vandalisme.

“Lif yang gagal berfungsi sering menyebabkan warga emas, ibu mengandung dan pesakit kronik berdepan kesulitan,” katanya pada Sidang Media di Bilik Gerakan Utama, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, langkah proaktif bakal diambil bagi memastikan masalah yang sekian lama membelenggu penduduk terbabit dapat diselesaikan secara komrehensif.

“Salah satu tindakan segera yang akan saya cadangkan kepada pihak berkuasa adalah pemasangan sistem kamera litar tertutup (CCTV).

“Sistem CCTV ini mempunyai skin khas yang mampu merakam pelaku vandalisme dan amat berkesan dalam usaha membendung perbuatan salah laku, terutama perbuatan merosakkan kemudahan awam seperti lif dan pam air,” katanya.

Pada masa sama, Halimey optimis, usaha membantu golongan terbabit khususnya di DUN Sri Setia bakal menjadi kenyataan dan bukan sekadar retorik kempen pilihan raya semata-mata.


Pengarang :