NASIONAL

LHDN utamakan bayaran balik kepada individu

PUTRAJAYA 25 OGOS: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memproses lebih daripada 90% permohonan bayaran balik cukai tahun semasa bagi pembayar cukai individu setakat 31 Julai 2018.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Datuk Seri Sabin Samitah berkata berdasarkan kedudukan Tabung Bayaran Balik Cukai (TBBC) yang terhad, keutamaan pembayaran balik cukai terlebih bayar diberikan kepada kategori pembayar cukai tersebut.

“Bagi kategori pembayar cukai yang lain, bayaran balik masih tidak dapat dilaksanakan kerana tiada peruntukan tambahan untuk tabung tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Sabin mengesahkan kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng bahawa terdapat kekurangan penyaluran pindahan hasil cukai langsung yang dikutip ke dalam akaun amanah TBBC.

 

Lim pada Rabu lalu mendedahkan kerajaan terdahulu gagal mengembalikan cukai pendapatan dan cukai keuntungan hartanah terlebih bayar berjumlah RM16.04 bilion yang tertunggak sejak lebih 6 tahun hingga 31 Mei lalu.

Jumlah itu melibatkan 1,653,786 kes merangkumi syarikat, individu, persatuan dan yayasan yang tidak menerima bayaran balik cukai terlebih bayar mereka daripada LHDN disebabkan kekurangan pindahan hasil cukai langsung yang dikutip ke dalam akaun amanah TBBC, kata Lim.

Menurut Lim, baki sedia ada dalam TBBC pada 31 Mei tahun ini hanya RM1.486 bilion, berdasarkan rekod Jabatan Akauntan Negara.

Sabin berkata selaras dengan hasrat kerajaan untuk mensejahterakan rakyat, pihaknya akan memberikan pertimbangan kepada permohonan pembayar cukai yang mempunyai kredit cukai yang perlu dibayar balik oleh LHDN untuk tolak selesai cukai yang perlu dibayar bagi tahun semasa.

“Pembayar cukai hendaklah mengemukakan permohonan tolak selesai tersebut kepada cawangan LHDN yang mengendalikan fail cukai mereka.

“Bagi pembayar cukai yang tidak memohon untuk tolak selesai, bayaran balik mereka akan diproses bergantung kepada peruntukan TBBC yang diluluskan kerajaan dan kedudukan kewangan negara,” katanya.

Sabin berkata, mengambilkira kekangan kewangan akibat hutang kerajaan yang melebihi RM1 trilion, menteri kewangan sedang berusaha mencari sumber kewangan bagi membuat bayaran balik sama ada pada tahun hadapan atau tahun-tahun berikutnya.

Sebagai peringatan kepada pembayar cukai terutama sektor korporat, Sabin berkata terdapat beberapa tindakan yang boleh diambil untuk mengelakkan wujudnya bayaran balik termasuk memastikan anggaran cukai yang diisi dikira setepat yang mungkin.

Katanya, jika pihak syarikat mendapati anggaran cukai yang terkini lebih rendah berbanding anggaran cukai asal, syarikat boleh membuat pindaan pada bulan ke-6 atau bulan ke-9 dalam tempoh asas syarikat.

“Individu yang mempunyai pendapatan daripada punca perniagaan boleh membuat pindaan amaun bayaran ansuran sekiranya mendapati anggaran cukai terkini adalah lebih rendah berbanding anggaran cukai asal.

“Permohonan pindaan tersebut hendaklah dibuat tidak lewat dari 30 Jun bagi tahun taksiran yang berkenaan,” katanya.

Sabin juga menegaskan LHDN akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pasukan khas yang ditubuhkan polis bagi menyiasat laporan yang berkaitan dengan isu bayaran balik cukai pendapatan.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :