EKONOMI

Dr Muhammed dilantik sebagai Penasihat Ekonomi Perdana Menteri

KUALA LUMPUR 25 OGOS: Pejabat Perdana Menteri melantik Dr. Muhammed Abdul Khalid sebagai Penasihat Ekonomi kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkuat kuasa pada 27 Ogos ini.

Ketika ini Muhammed merupakan Pengarah Urusan dan Ketua Ekonomi DM Analytics Malaysia.

Beliau yang merupakan seorang pakar ekonomi terlatih dengan pengalaman lebih 20 tahun dalam pelbagai sektor ekonomi dan kewangan telah memegang pelbagai jawatan termasuk sebagai perunding bagi Bank Dunia, Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEFF) dan Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Asia dan Pasifik.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan semalam berkata, Muhammed juga berkhidmat sebagai Pengarah Penyelidikan di Institut Penyelidikan Khazanah, Ketua Ekonomi di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Penganalisis Kanan di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa.

Beliau juga merupakan Penasihat Teknikal Kanan di UNDP Malaysia dan Ketua Sekretariat bagi Majlis Penasihat Kerajaan.

Muhammed memperoleh ijazah kedoktoran (PhD) beliau daripada Institut d’études Politiques de Paris, Perancis dan memiliki ijazah Sarjana dalam Ekonomi daripada Universiti Malaya serta Ijazah Sarjana Muda Sains daripada Universiti Southern California, Los Angeles.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :