PBTSELANGOR

MBSA – Panasonic jayakan ‘Shah Alam Trees For Life 2018’

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 11 OGOS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dengan kerjasama Panasonic Management Malaysia Sdn Bhd menganjurkan program penanaman pokok ‘Shah Alam Trees For Life 2018’, di Padang B Dataran Kemerdekaan, di sini, hari ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, kolaborasi kedua pihak itu bertujuan menghijaukan landskap, terutama di kawasan pentadbiran MBSA.

“Pada program kali ini, Panasonic menyumbang RM35,000 kepada MBSA.

“Penyertaan membabitkan 400 peserta terdiri daripada 377 warga kerja Panasonic, MBSA, Badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Eco-Warrior, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Selangor (UNISEL) dan sukarelawan individu,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Shahrin berkata, sebanyak 2,500 pokok ditanam di sekitar kawasan hijau dan tepian laluan pejalan kaki padang berkenaan.

“Antara jenis pokok ditanam adalah 500 pokok daripada jenis pokok seperti ‘Duranta Gold’, ‘Texas Ranger’, ‘Chinese Fringe Flower’, Akalifa Merah dan Akalifa putih-hijau,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, pihak majlis sentiasa komited menjadikan Shah Alam sebagai bandaraya rendah karbon menjelang 2030.

“Justeru, pelbagai program dilaksanakan ke arah merealisasikan matlamat itu termasuk Program Inisiatif Hijau Shah Alam.

“Antara lain adalah Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan, Perintis Hijau, Kebun di Sekolah, Kebun Komuniti, Penyediaan Trek Basikal Shah Alam dan Bas Selangor,” katanya.

Terdahulu, majlis seawal 7.30 pagi itu disempurnakan Timbalan Setiausaha MBSA, Rosli Bakar.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Panasonic Management Malaysia Sdn Bhd, Hiroyuki Imizu.


Pengarang :