PBTSELANGOR

MPSJ ubah suasana ‘jalan belakang’

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 11 OGOS: Kebiasaannya jalan belakang digambarkan sebagai kawasan yang gelap dan juga kotor sehingga menyebabkan orang ramai tidak menggunakannya.

Namun, dengan inisiatif baru daripada Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), tidak lama lagi suasana jalan belakang bangunan di Jalan PJS 11/28A dan Jalan PJS 11/28B Bandar Sunway akan berubah.

Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan berkata, pihaknya mahu mengambil insiatif mengubah jalan terbabit menjadi lebih selamat, bersih dan indah.

“Kerja naik taraf dan pengindahan lorong belakang yang menelan belanja sebanyak RM300,000 itu dijangka siap, dalam tempoh sebulan lagi.

“Program ini adalah usaha MPSJ dalam menangani isu di lorong belakang kawasan komersial melalui penyertaan awam membabitkan Ahli Majlis MPSJ, pemilik dan penyewa premis, Sunway Property serta The One Academy,” katanya.

Noraini berkata, kerja itu membabitkan pemasangan jubin lantai, mengecat semula lorong belakang bangunan dan lukisan mural.

Katanya, selain itu, projek terbabit bertujuan memastikan longkang dalam keadaan bersih dan memudahkan kontraktor melakukan pembersihan.

“Saya berharap, projek ini akan mendatangkan impak positif kepada penduduk dan persekitaran,” katanya.

 


Pengarang :