PBTSELANGOR

Penjawat awam perlu komited laksana tugas

OLEH SHEEDA FATHIL

KLANG, 15 OGOS: Penjawat awam Majlis Perbandaran Klang (MPK) terutamanya perlu komited melaksanakan tugas dan tanggungjawab diamanahkan dengan bersungguh-sungguh, cekap, berdedikasi dan berkesan.

Yang Dipertua MPK, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, penjawat awam seharusnya mengamalkan prinsip kepimpinan melalui teladan yang bersih, cekap dan amanah serta berintegriti.

“Sesungguhnya teras keunggulan sesuatu organisasi perkhidmatan awam itu adalah sejauh mana warga kerja mengamalkan nilai murni dimaksudkan dan mempunyai etika kerja yang tinggi.

“Gejala tidak sihat adalah amalan negatif seperti rasuah, kurang iltizam, mementingkan diri sendiri, ‘double standard’, malas dan tidak berkualiti yang boleh menjejaskan keberkesanan organisasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan dan Program Kibar Jalur Gemilang sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan ke-61 peringkat MPK di Dewan Hamzah, di sini, hari ini.

Mohamad Yasid berkata, beliau turut menegaskan supaya warga MPK sentiasa menjaga disiplin dan tatalaku seperti yang sudah ditetapkan dalam Perintah Am, Arahan Perkhidmatan, Pekeliling Perkhidmatan serta Arahan Perbendaharaan.

“Seluruh warga MPK perlu berkhidmat dengan sikap profesionalime yang tinggi selain sentiasa memperbaiki segala kelemahan dan ketirisan supaya imej serta nama baik selaku penjawat awam terus terpelihara,” katanya.

Pada masa sama, katanya, beliau optimis 24 Ahli Majlis MPK yang baru dilantik sentiasa bekerjasama dalam memastikan segala perancangan, halatuju, visi dan misi MPK dapat dilaksanakan dengan jayanya sekaligus mutu penyampaian perkhidmatan kepada penduduk dapat dipertingkatkan demi kesejahteraan serta keharmonian masyarakat Klang.

“Saya berharap semua Ahli Majlis dapat memberi komitmen dan komited dalam menjalankan tugas dan sentiasa berdisiplin serta menjaga nama baik MPK,”katanya.


Pengarang :