SELANGOR

PRK Balakong: SPR jangka 75 hingga 80 peratus keluar mengundi

OLEH NORHAYATI UMOR

HULU LANGAT, 18 OGOS: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menjangkakan peratusan keluar mengundi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong sebanyak 75 hingga 80 peratus.

Setiausahanya, Dato’ Mohamed Elias Abu Bakar berharap, pengundi dapat keluar mengundi untuk menunaikan hak dan tanggungjawab mereka.

Katanya, SPR juga memohon semua pihak khususnya pihak media untuk turut memainkan peranan menggalakkan pengundi keluar mengundi, pada 8 September ini.

“SPR berharap semua pengundi di N.27 Balakong dapat menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi dan tidak mensia-siakan hak serta undi mereka.

“SPR juga berharap aktiviti berkempen akan berjalan dengan penuh harmoni serta tidak melanggar undang-undang dan peraturan,” katanya dalam sidang media selepas penamaan calon DUN berkenaan, di Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat.

Pada masa sama, Mohamed Elias berkata, SPR melaksanakan beberapa penambahbaikan dengan mewujudkan dua saluran bagi pengundi berumur 60 tahun ke atas.

Katanya, tambahan waktu mengundi juga dilakukan iaitu selama 30 minit, dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang.

“Kita juga menambah 29 saluran daripada 100 kepada 129 saluran. Manakala, tiga petak undi berbanding dua petak sebelum undi sahaja,” katanya.

Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya tidak boleh merayu undi pada hari mengundi termasuk media sosial antaranya Facebook, Twitter dan Instagram.

“Pengundi disaran membuat semakan daftar pemilih lebih awal untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran dan nombor bilangan mereka melalui laman sesawang SPR di www.spr.gov.my atau menelefon ke talian 03-88927018 atau SMS 15888 serta aplikasi MYSPR SEMAK.

“Bagi pengundi yang mengetahui maklumat ini, mereka boleh mencatat maklumat dan terus membawa catatan itu ke tempat mengundi tanpa perlu menyemak, di borang SPR,” katanya.


Pengarang :