NASIONAL

YDP Agong, Sultan Muhammad V cemar duli sambut Hari Kebangsaan 2018 bersama rakyat

OLEH AFIX REDZUAN

PUTRAJAYA, 31 OGOS: Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV, Sultan Muhammad V berkenan mencemar duli bersama-sama rakyat meraikan sambutan Hari Kebangsaan 2018 di Dataran Putrajaya.

Baginda tiba pada jam 8.10 pagi sambil disambut Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Kabinet dan Ahli Parlimen.

Dataran Putrajaya kembali menjadi lokasi sambutan Hari Kemerdekaan kali ke-61 selepas kali terakhir acara perbarisan dan perarakan dilangsungkan sekitar 13 tahun lalu pada 2005.

Sambutan Hari Kebangsaan 2018 dengan tema ‘Sayangi Malaysiaku’ menekankan perpaduan dan semangat cintakan negara tanpa mengira perbezaan kaum, agama, bangsa atau fahaman bagi memastikan kesejahteraan serta kemakmuran berterusan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo bertindak selaku Pengerusi Sambutan Hari Kebangsaan 2016 manakala Jabatan Perdana Menteri sebagai urusetia acara Perbarisan dan Perarakan.

Sambil dibantu Angkatan Tentera Malaysia (ATM), garapan dan penyelarasan persembahan pula dibantu Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.


Pengarang :