BERITA UTAMANASIONAL

Anwar: Pemimpin perlu letak dasar akhlak dan nilai ilmu jadi keutamaan

OLEH AFIX REDZUAN

PUTRAJAYA, 17 SEPT: Pemimpin perlu meletakkan dasar akhlak di hadapan dengan mempunyai kekuatan nilai serta ilmu dan bukannya memijak rakyat selepas memperoleh kemenangan.

Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ledakan reformasi menghasilkan sesuatu yang ditunggu ramai rakyat yang berhasil dengan keyakinan justeru pimpinan tidak boleh mempamerkan sahsiah boros dan angkuh.

“Reformasi, revolusi dan perubahan yang berlaku dalam pilihan raya tidak harus berakhir dengan perubahan pimpinan. Ia mesti melahirkan elit yang mempunyai kekuatan nilai.

“Saya antara pemimpin yang banyak memberikan peluang kepada golongan muda dan paling keras ingatkan jangan pijak rakyat yang pernah mengangkat kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Pidato Malaysia Baharu; Mengisi Harapan Rakyat bersempena Muktamar Nasional kali ke-12 Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), malam tadi.

Katanya, revolusi yang berlaku di beberapa negara berdasarkan kisah sejarah wajar diambil iktibar walaupun perubahan tampuk kuasa di Malaysia berlangsung secara aman.

Anwar berkata, pengalaman 11 tahun di penjara mengajar beliau untuk memahami lebih dekat derita golongan bawahan selain menjadi lebih pemaaf.

 


Pengarang :