Kementerian Pendidikan menyasarkan sifar keciciran berhubung kemasukan murid sekolah rendah ke sekolah menengah.
PENDIDIKANSELANGOR

Calon UPSR diperingat bawa MyKad

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 16 SEPT: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengingatkan semua calon yang bakal menghadapi peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) supaya membawa MyKad masing-masing ke pusat peperiksaan yang akan bermula pada 20 hingga 27 September ini.

KPM dalam kenyataannya berkata, ia bertujuan bagi memastikan pengurusan dan pengendalian peperiksaan berjalan dengan lancar.

Berdasarkan kenyataan tersebut, Lembaga Peperiksaan turut mengingatkan semua calon supaya merujuk jadual waktu peperiksaan UPSR 2018 untuk maklumat mengenai masa peperiksaan dan arahan serta amaran yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan sedang berlangsung.

“Jadual waktu peperiksaan boleh dimuat turun dari laman sesawang Lembaga Peperiksaan di alamat lp.moe.gov.my,” katanya.

Difahamkan, seramai 440,743 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan UPSR itu.

Manakala, daripada jumlah itu, 430,031 calon terdiri daripada calon sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan serta 10,712 calon sekolah swasta.

Selain itu, sebanyak 8,100 pusat peperiksaan akan dibuka di seluruh negara membabitkan 54,253 petugas peperiksaan yang dilantik bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar seperti dijadualkan.


Pengarang :