GLOBAL

China tidak akan tunduk tuntutan rundingan Amerika

SHANGHAI 16 SEPT: China tidak akan tunduk kepada tuntutan Amerika Syarikat (AS) dalam mana-mana rundingan perniagaan, demikian menurut akhbar tempatan China Daily dalam satu ruangan editorialnya.

Komentar itu dibuat selepas para pegawai China mengalu-alukan pelawaan Washington untuk mengadakan perbincangan baharu.

China dan AS akan ke meja rundingan ketika terdapat kebimbangan tentang ancaman tarif baharu AS selepas Setiausaha Perbendaharaan, Steven Mnuchin membuat jemputan untuk berunding kepada rakan sejawatannya di Beijing.

China Daily berkata, walaupun China ‘serius’ tentang menyelesaikan pertikaian perdagangan melalui perbincangan, ia tidak dipersetujui terima meskipun terdapat kebimbangan tentang pertumbuhan ekonomi yang perlahan dan kejatuhan pasaran sahamnya.

“Pentadbiran Trump tidak boleh menyalaherti penerimaan China sebagai akan tunduk kepada tuntutan A.S. China mempunyai keupayaan yang mencukupi untuk memacu ekonominya walaupun perang perdagangan berlarutan,” kata akhbar itu.

Jelasnya lagi, jika AS mengenakan levi baharu ke atas import China maka Beijing ‘tidak akan teragak-agak bertindak balas terhadap tarif A.S. untuk melindungi kepentingan China’.

Presiden AS, Donald Trump dalam Twitternya pada Khamis lalu berkata, AS berada pada ke­dudukan lebih baik dalam rundingan itu.

“Kami tidak berdepan dengan tekanan untuk membuat perjanjian dengan China tetapi mereka pula sebaliknya.

“Pasaran kita (AS) semakin meningkat, tapi mereka (China) merudum,” kata beliau.

Pentadbiran A.S. telah bersiap sedia dengan senarai akhir barangan import China bernilai AS$200 bilion (RM827 bilion) yang bakal dikenakan tarif sebanyak 10 sehingga 25 peratus pada hari-hari mendatang, sekali gus akan me­ningkatkan perang perdagangan antara dua negara ekonomi terbesar dunia.

Sementara itu, Jurucakap Kementerian Luar China, Geng Shu­ang memberitahu bahawa China menerima jemputan itu, dan kedua-dua negara sedang membincangkan butiran tersebut.

Perbincangan pusingan terakhir sebelum ini, antara para pe­gawai A.S. dengan China, gagal mencapai sebarang persetujuan.

SUMBER: REUTERS

 


Pengarang :