SELANGOR

Johan Setia jadi perintis SOP baru tangani isu pembakaran terbuka

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 1 SEPT: Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim akan merangka prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi menangani masalah pembakaran terbuka di seluruh negara.

Menterinya, Yeo Bee Yin berkata, pihaknya akan menjadikan kawasan di Kampung Johan Setia, di sini sebagai projek perintis.

Katanya, perangkaan SOP berkenaan dijangka mengambil masa dua minggu atau sebulan untuk disiapkan.

“Masalah pembakaran terbuka kampung ini sudah lebih 10 tahun, jadi dua perkara utama yang akan diberi perhatian ialah penyebab kebakaran dan tindakan yang diambil oleh agensi berkaitan bagi menangani isu terbabit.

“Permasalahan berlaku sebelum ini akibat tiada penyelarasan antara agensi berkaitan termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pejabat Tanah Daerah serta Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) mengenai tindakan bagi menanganinya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sesi dialog bersama penduduk mengenai kejadian pembakaran terbuka dan jerebu di Kampung Johan Setia di sini, hari ini.

Hubungan itu, Bee Yin berkata, menerusi SOP itu nanti, ia akan menjadi lebih teratur dan setiap agensi mengetahui apakah tindakan selanjutnya boleh dilakukan.

“Saya berharap ia dapat menyelesaikan masalah tertangguh sejak sekian lama,” katanya.

Terdahulu, Bee Yin melakukan tinjauan kawasan kebakaran tanah gambut seluas 50 hektar di terbabit.

Beliau turut memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik kebun yang melakukan pembakaran terbuka bagi tujuan pertanian.

 


Pengarang :