SELANGOR

Kerajaan Negeri perlu perhebat Hab Floris Selangor

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 15 SEPT: Kerajaan Negeri diminta tidak melepaskan peluang menarik lebih ramai kedatangan pelancong ke Sungai Buloh ekoran bercambahnya perniagaan floris, di situ.

Ahli Dewan Negeri Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman berkata, pengisytiharan Sungai Buloh sebagai Hab Floris Selangor sebelum ini tidak akan memberi impak diharapkan jika tiada langkah susulan berkesan diambil.

“Sungai Buloh ada potensi dimajukan sebagai kawasan tarikan pelancong seperti Sekinchan yang terkenal dengan ikannya dan Air Hitam, di Johor dengan tembikarnya kerana di sini ada pusat penanaman bunga atau tanaman hiasan yang sangat pesat.

“Saya harap EXCO Pelancongan dan EXCO Pertanian melihat semula produk yang kita jalankan dahulu kerana status Sungai Buloh sebagai hab floris belum menampakkan kesan besar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada SelangorKini pada Program Inisiatif Peduli Rakyat di Dewan Mini RTC, Paya Jaras, di sini, hari ini.

Mohd Khairuddin berkata, antara cadangan yang perlu diberi perhatian ialah memperhebatkan promosi dalam kalendar pelancongan dan membina tugu atau mercu tanda yang menggambarkan status Sungai Buloh sebagai hab floris.

Katanya, beliau juga akan bertemu dengan EXCO berkaitan bagi mengadakan perbincangan berkenaan usaha memperkasakan kawasan itu.

Terdahulu, Sungai Buloh diisytiharkan sebagai Hab Floris Selangor ekoran terdapat banyak pengusaha perniagaan tanaman hiasan, di kawasan itu.


Pengarang :