GLOBAL

Krisis kemanusiaan Yaman: 5.2 juta kanak-kanak berdepan kebuluran

LONDON, 20 SEPT: Sekurang-kurangnya 5.2 juta kanak-kanak di Yaman berada di ambang kebuluran akibat peperangan berterusan di negara tersebut.

Sebuah badan amal, Save the Children menyatakan kebimbangan terhadap krisis kemanusiaan di sana lebih-lebih lagi selepas peningkatan serangan ke atas bandaran pelabuhan Hudaydah.

Badan amal berpusat di Britain itu menerusi laporan mereka turut memberi amaran terhadap sebarang gangguan bekalan yang menjadi sumber kehidupan penduduk yang akan menyebabkan krisis kebuluran pada skala tidak pernah berlaku sebelum ini.

Sebarang tindakan penutupan Hudaydah akan meletakkan kehidupan ratusan ribu kanak-kanak dalam bahaya manakala jutaan lagi berisiko kebuluran.

Minggu lalu, The Associated Press melaporkan kebanyakan keluarga di Yaman tiada apa untuk dimakan dan hanya memakan daun.

Dianggarkan, 8.4 juta penduduk di negara bergolak itu berada di ambang kebuluran manakala hampir 18 juta kurang mendapat akses makanan sihat dan berkhasiat.

– Press TV


Pengarang :