SELANGOR

MB: Pendekatan baharu perkasa pelaksanaan KISS

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BATU CAVES, 16 SEPT: Kerajaan Negeri akan mengambil pendekatan baharu bagi memperkasa agenda pelaksanaan program Kasih Ibu Smart Selangor (Kiss).

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, hal itu kerana pihaknya menerima beberapa maklum balas terdapat lebihan permohonan, walaupun program berkenaan sudah ditutup selepas mencapai sasaran ditetapkan dalam belanjawan tahun ini iaitu 40,000 penerima.

Bagaimanapun katanya, kuota permohonan KISS sudah memenuhi jumlah maksimum walaupun ia diakui menerima sambutan menggalakkan daripada kaum ibu, di Selangor.

“Kerajaan Negeri menetapkan tiada tambahan bajet tahun ini, tetapi kita akan akan melihat kaedah dapatan sumber lain seperti sokongan dana daripada anak syarikat bagi menampung kekurangan dan lebihan permohonan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media selepas Majlis Perasmian Hari Malaysia, di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Kertas, di sini, hari ini.

Sebelum itu, EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud menegur sesetengah pihak yang dilihat cuba mengeksploitasi inisiatif KISS untuk kepentingan tertentu.

Katanya, permohonan program bantuan KISS itu ditutup memandangkan sudah memenuhi kuota 40,000 pemohon seperti peruntukan dalam belanjawan lalu.

Perkara itu harus dihentikan kerana bakal mengundang persepsi negatif terhadap Ahli Dewan Negeri (ADN) yang sepatutnya berperanan meluluskan permohonan terbabit.

Mariah turut memberi amaran untuk memperketatkan syarat permohonan supaya tidak membenarkan aktivis-aktivis menawarkan permohonan secara terus kepada pemohon jika eksploitasi itu berterusan.

Mengulas berhubung peruntukan bajet tambahan tahun hadapan, Amirudin berkata, tiada jaminan mengenai perkara terbabit memandangkan Kerajaan Negeri masih di peringkat penyelarasan program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR).

“Kita masih dalam proses timbal balik secara keseluruhan untuk semua program IPR bagi mengoptimumkan keberkesanannnya daripada (Empathy-to-Empower) iaitu pemberian kepada pemerkasaan atau pemberdayaan.

“Untuk tempoh 10 tahun IPR dilaksanakan, ia adalah masa yang terbaik untuk kita menyelaraskan semula semua program ini sejajar dengan matlamat dan sampai ke golongan sasaran,” katanya.


Pengarang :