AGAMABERITA UTAMASELANGOR

MB rai 11 pasangan kahwin serentak di Gombak

OLEH NADIAH ZAMLUS

GOMBAK, 11 SEPT: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari meraikan 11 pasangan pengantin baru yang dinikahkan pada Majlis Pernikahan Perdana 2018, di sini, pagi tadi.

Program anjuran Masjid Al-Khairiyah, Taman Seri Gombak itu bermula dengan upacara akad nikah oleh lima jurunikah, disusuli majlis perarakan dan resepsi di lokasi sama.

Nazir Masjid Al-Khairiyah, Ir Mohd Rozi Salleh berkata, program pernikahan beramai-ramai yang diadakan sejak 2012 itu, bertujuan menggalakkan majlis perkahwinan dilaksanakan mengikut syariat Islam.

Katanya, ia sekali gus mengurangkan beban kewangan ditanggung pasangan memandangkan kos bayaran yang dikenakan hanya RM1,000 sahaja.

“Sehingga kini seramai 72 pasangan sudah selamat dinikahkan dan semuanya adalah pasangan bermaustautin di negeri ini.

“Tidak dinafikan kami menerima permohonan yang banyak, namun hanya memilih pasangan berpendapatan RM3,000 ke bawah sahaja.

“Ini bersesuaian dengan objektif penganjuran bagi mempermudahkan urusan perkahwinan,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Sementara itu pasangan pengantin asnaf, Azizul Safrie Turin, 46 dan Nor Sabarin Mohamed Takyin, 44 yang terpilih pada majlis itu melahirkan rasa syukur.

“Kami turut berterima kasih kepada pusat asnaf yang banyak membantu, Alhamdulillah majlis ini dapat membantu kami mengurangkan kos perkahwinan.

“Kami berdua juga memilih Hari Maal Hijrah sebagai tarikh perkahwinan kerana mahu berubah ke arah lebih baik selepas berkahwin,” katanya.

Sementara itu, pasangan Muhamad Husaini Ariffin, 27 dan Nadia Yaacub, 27, pula menerima hadiah cabutan bertuah iaitu percutiaan ke Pulau Pangkor pada majlis berkenaan.

Muhamad Husaini berkata, dia memilih berkahwin pada Hari Maal Hijrah bagi mengambil berkat.

“Bukan kos perkahwinan yang murah sahaja diambil kira, namun kami mahu perkahwinan ini diredhai serta diberkati. Paling penting pernikahan ini telah menghalalkan perhubungan kami,” katanya.


Pengarang :