SELANGOR

MBI komited jaya Smart Merdeka Explorace didik generasi muda

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 22 SEPT: Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI Selangor) komited menganjurkan program Smart Merdeka Explorace: Journey Through Time untuk memupuk generasi muda cintai negara.

Program itu diadakan seawal pagi tadi sehingga jam 1 tengah hari bermula di Dataran Kemerdekaan Shah Alam dan berakhir di Plaza Alam Sentral, di sini, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Yang Mulia Raja Shahreen Raja Othman berkata, objektif program untuk menyemarakkan lagi sambutan Hari Malaysia selain memberi pendedahan kepada generasi baharu mengenai elemen sejarah yang membawa kepada kemajuan Malaysia pada hari ini.

“Sebab itu kita memberi tugasan yang berkait dengan faktor kenegaraan supaya ia boleh memperingati satu sama lain bersesuaian tema kemerdekaan, “Sayangi Malaysiaku”.

“Malah, menerusi program ini, kita dapat memperkenalkan inisiatif peduli rakyat dijayakan MBI seperti Bas Smart Selangor dan Wifi Smart Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah Smart Merdeka Explorace : Journey Through Time di Plaza Alam Sentral, di sini.

Pada masa sama, Raja Shahreen berkata, apabila wujudnya elemen terkini seperti platform media sosial yang digabungkan dengan elemen sejarah ia berupaya menjadi rujukan untuk rakyat terutama generasi muda berkongsi idea.

“MBI Selangor percaya bahawa kita mempunyai tanggungjawab bersama dalam menghargai kemudahan yang disediakan, sekali gus pengalaman ini diharapkan dapat memupuk sedikit sebanyak penghargaan tersebut.

“Saya optimis tidak kira samada generasi muda atau dewasa supaya menggunakan segala kemudahan disediakan dengan baik dan di landasan yang betul, elakkan daripada merosakkan harta awam,” katanya.

Sementara itu, salah seorang artis yang turut sama mengikuti program explorace, Izzue Islam berkata, beliau memuji inisiatif yang dilaksanakan MBI Selangor dalam mewujudkan program sebegitu.

“Saya berterima kasih kerana memberi peluang kepada kami rakan artis untuk sama menjayakan aktiviti ini yang banyak memberi pengetahuan berkenaan sejarah.

“Program sebegini patut dilaksanakan pada setiap tahun kerana selain menyeronokkan ia juga mencabar minda peserta,” katanya.

Terdahulu, sebanyak lima sekolah sekitar Selangor menjayakan program ini antaranya Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puchong Perdana; SMK Puchong Permai; SMK Seksyen 24(2); SMK Seksyen 18 dan SMK Seksyen 19.

Antara pengisian program pada setiap ‘checkpoint’, peserta dikehendaki menyusun gambar Menteri Besar Selangor enam tahun kebelakang, rukun negara, bina menara tertinggi dan aktiviti video game.


Pengarang :