SELANGOR

Pemilik diarah bersih sampah, elak tanah dirampas

OLEH HAFIZAN TAIB

SUBANG JAYA, 7 SEPT: Pemilik tanah diingat menjalankan kerja pembersihan di tapak sampah haram di Damai Utama 7, Taman Damai, dekat sini, dengan segera bagi mengelak tindakan rampasan dijalankan ke atasnya.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baharu, Ng Sze Han berkata, Kerajaan Negeri melalui pihak berkuasa akan bertindak sedemikian jika tiada tindakan bagi tujuan berkenaan.

“Siasatan dijalankan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Pejabat Daerah Petaling dengan notis serta amaran diberikan kepada pemilik tanah.

“Jika tiada tindakan, Kerajaan Negeri tidak akan teragak-agak merampas kawasan tanah ini,” katanya kepada media selepas menjalankan tinjauan di kawasan itu, hari ini.

Beliau berkata, MPSJ sudah mengeluarkan notis kepada pemilik tanah, iaitu syarikat pemaju dan seorang individu kira-kira dua minggu lalu serta difahamkan mereka memberi reaksi positif untuk membersihkan kawasan itu.

“Kita berharap kerja pembersihan di kawasan ini dijalankan segera kerana ia mengganggu penduduk berhampiran dengan bau busuk dan sebelumnya juga ia kawasan hijau cantik dengan tasik yang menarik,” katanya sambil menambah kerja pembersihan memakan masa kira-kira tiga hingga empat bulan.

Penolong Pegawai Daerah (Penguatkuasaan) Petaling, Mohd Farid Shaharir berkata, pihaknya mengeluarkan Notis 7A kepada pemilik tanah dan tindakan pembersihan perlu dilakukan dalam tempoh ditetapkan.

“Pemilik tanah perlu melalui proses disyaratkan supaya tidak dikenakan tindakan rampasan antaranya kawasan mesti dibersihkan dengan bukti sampah dibuang di tapak pelupusan sampah yang sepatutnya,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis MPSJ, E Mehanathan berkata, kedua pemilik tanah masing-masing dikenakan kompaun RM25,000 ekoran kesalahan itu.

Difahamkan pemilik tanah sudah memohon kebenaran MPSJ bagi tujuan pembangunan kawasan seluas kira-kira empat ekar itu.

Tindakan diambil ke atas mereka ekoran MPSJ menerima aduan penduduk sekitar kawasan itu lebih kurang dua minggu lalu.


Pengarang :