NASIONAL

MOT usul pas bulanan tanpa had bagi Rapid

OLEH NADIAH ZAMLUS

PUTRAJAYA, 27 SEPT: Kementerian Pengangkutan (MOT) mengusulkan pelaksanaan Pas Bulanan Tanpa Had Perjalanan, pada Mesyuarat Tindakan Sara Hidup Negara, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, cadangan itu khusus buat ‘Rapid Rail’ dan ‘Rapid Bus’ (RRRB) Bersepadu serta perlaksanaan bagi diskaun perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu (KTM).

Bagaimanapun, katanya, perkara itu akan dibawa untuk persetujuan jemaah menteri terlebih dahulu, memandangkan subsidi pas bulanan berkenaan membabitkan kos RM300 juta setahun.

“Cadangan ini dibawa kerana MOT mahu membantu golongan B40 yang banyak menggunakan pengangkutan awam, jadi kita melihat mekanisma membabitkan bantuan subsidi dalam pengangkutan awam ini dapat mengurangkan kos sara hidup rakyat.

“Setakat ini, Kerajaan Malaysia masih belum pernah melaksanakan pemberian subsidi dalam pengangkutan awam buat rakyatnya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup di Dewan Persidangan Unit Penyelarasan Perlaksanaan Jabatan Perdana Menteri, di sini.

Dr Wan Azizah berkata, antara alasan  dikemukakan MOT ialah hampir semua negara maju sudah memperuntukkan subsidi bagi pengangkutan awam, di negara masing-masing.

“Di Paris dan Singapura, pemberian subsidi kepada pengguna pengangkutan awam sudah diberikan sehingga 30 peratus, jadi dari alasan ini kita melihat ia boleh dilaksanakan, di Malaysia.

“Apapun kita akan melihat apa keputusan jemaah menteri apabila usul ini dibawa,” katanya.


Pengarang :