NASIONAL

MYHSR Corp sokong keputusan tangguh Projek HSR KL-Singapura

KUALA LUMPUR, 5 SEPT: MyHSR Corporation Sdn Bhd (MyHSR Corp) menyokong keputusan kedua-dua Kerajaan Malaysia dan Singapura menangguhkan pelaksanaan projek kereta Api Berkelajuan tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) sehingga 31 Mei, 2020.

“Disebabkan tempoh penangguhan yang lama, syarikat-syarikat Infrastruktur Malaysia dan Singapura, MyHSR Corp dan SG HSR, akan membatalkan tender bersama antarabangsa untuk Asset Company (AssetsCo), yang dilancarkan awal tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan berikutan pertukaran dokumen undang-undang antara Menteri Hal Ehwal Ekonomi Malaysia Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Penyelaras Infrastruktur dan Menteri Pengangkutan Singapura, Khaw Boon Wan bagi mengubah Perjanjian Dua Hala KL-SG HSR awal hari ini.

“Kami berterima kasih atas penyertaan penggiat HSR global serta entiti tempatan dalam tender AssetsCo dan berharap dapat menarik balik mereka sekali lagi setelah butiran projek diperkukuh.

“Berdasarkan perkembangan baharu ini, kami, sebagai jentera penyampaian projek di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan, akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa yang berkaitan sepanjang tempoh ini,” kata MyHSR Corp.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :