EKONOMISELANGOR

Potensi industri makanan kerepek dimajukan, dipasar ke global

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 5 SEPT: Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Usahawan kini dalam usaha memperluaskan potensi industri makanan kerepek dan produk makanan lain yang dibuat secara kecilan untuk ditingkatkan.

Exco Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, inisiatif itu bagi membolehkan produk usahawan itu dipasarkan bukan sahaja dalam negara malah di peringkat antarabangsa.

Katanya, antara usaha yang dilakukan adalam program pembungkusan di mana syarikat pengeluar produk akan dibimbing bagi memastikan pembungkusan mereka mencapai tahap yang tinggi.

“Selain itu, program Halal juga diberi perhatian dan pihak Unit Perancang Ekonomi Negeri sedang berbincang dengan beberapa penyedia khidmat latihan Pensijilan Halal untuk membimbing usahawan ini sehingga mereka memperoleh sijil Halal yang sah.

“Usahawan juga akan mengikuti program pemasaran. Kerajaan Negeri juga sedang dalam proses penyelidikan beberapa platform online yang sesuai bagi tujuan ini sama ada daripada Smart selangor Development Unit (SSDU), Malaysia Development Economic Corporation (MDEC),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi menggulung perbahasan menjujung kasih titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Persidangan Dewan Negeri Selangor Yang Ke-14 Tahun 2018 di Bangunan Dewan Negeri Selangor, di sini.

Rodziah berkata, Kerajaan Negeri prihatin akan produk usahawan mikro yang boleh dicungkil untuk dibangunkan dan dibawa ke peringkat lebih jauh.

Katanya, sebanyak RM1.8 juta diperuntukkan khusus bagi mempromosikan produk usahawan itu.

Terdahulu, Kerajaan Negeri menganjurkan program ‘Made In Selangor’ yang dilaksanakan di beberapa pasaraya Giant pada 2017.

Pada 2018, Kerajaan Negeri merancang untuk membawa usahawan ke beberapa negeri lain dengan kerjasama pusat membeli belah terkemuka.

Selain itu, program penyertaan usahawan ke Selangor Internationa Expo (SIE), Penang International Halal Expo and Conference (PIHEC) dan Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) dan penyertaan usahawan ke program antarabangsa di luar negara iaitu China-ASEAN Expo (CAEXPO) di Nanning, China.


Pengarang :