BERITA UTAMASELANGOR

Raja Muda berkenan rasmi trak Smart Selangor Virtual Reality Simulator

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR, 7 SEPT: DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan ‘Smart Selangor Virtual Reality Simulator’ di Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor 2018 (SIBS 2018), semalam.

Turut mengiringi baginda Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan Ketua Pegawai Eksekutif Pemerbadanan Menteri Besar (MBI Selangor), YM Raja Shareen Raja Othman.

Hadir sama Exco Pelaburan, Perindustrian, dan Perdagangan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Dato’ Teng Chang Khim.

Raja Shareen berkata, trak ‘Smart Selangor Virtual Reality Simulator’ itu merupakan usaha MBI Selangor mempamerkan secara holistik pelaksanaan ‘Smart Selangor’ dengan gaya persembahan yang progresif dan berkesan.

“Simulasi VR ini memberikan pengguna gambaran tentang masa depan ‘Smart Selangor’ selaras dengan wawasannya menjadi Negeri Pintar utama di ASEAN menjelang 2025.

“Ia menggambarkan Smart Energi, Pengurusan Sisa Pintar, Mobiliti Pintar serta Pendidikan Pintar, dalam kalangan yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pelancaran ‘Smart Selangor Virtual Reality Simulator’ yang diadakan sempena SIBS 2018, di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Pada masa sama, beliau berkata, Trak VR itu disediakan bermula 6 hingga 9 September juga Konvensyen Bandaraya Pintar dan Ekonomi Digital Selangor dari 13 hingga 15 September 2018 untuk orang ramai mencuba.

“Pavilion MBI Selangor juga mempunyai sudut Smart Selangor oleh Smart Selangor Delivery Unit (SSDU), sudut SMARTSEL, sudut Maritim Gateway Selangor, dan pusat maklumat EIP,” katanya.

Beliau turut memaklumkan mulai Oktober 2018, MBI Selangor dan Universiti Selangor (UNISEL), Bahagian Teknologi Maklumat SUK, dan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) menganjurkan lawatan jalan dengan Trak VR Smart Selangor itu sebagai tarikan utama bermula dari Sungai Besar.

Katanya, ia bertujuan memberi peluang orang ramai mengalami Smart Selangor 2025 serta inisiatif dan program lain oleh Kerajaan Negeri Selangor.

“Antara aktiviti semasa Jelajah 360 Smart Selangor adalah pameran oleh agensi kerajaan dan jabatan, Perpustakaan Smart Smart Mobile, hiburan oleh artis tempatan, trak makanan dan tempat pasar serta forum dengan selebriti,” katanya.

 


Pengarang :