SELANGOR

SIBS 2018 capai status pameran bertaraf antarabangsa

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 7 SEPT: Penyertaan lebih 20 buah negara luar ke Persidangan Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor 2018 (SIBS) membolehkan Selangor melakar satu lagi kejayaan selaku penganjur pameran bertaraf antarabangsa.

EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Datuk Teng Chang Kim berkata, SIBS 2018 berjaya melepasi peratus penyertaan ditetapkan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

“Kalau mengikut syarat daripada MATRADE untuk meletakkan satu persidangan itu ke tahap persidangan antarabangsa, ia memberikan penyertaan 20 peratus peserta asing tetapi kita sudah melebihinya dengan mencatatkan penyertaan 40 peratus.

“Kalau dapat kekalkan atau meningkat menjadi 50-50 pada penganjuran akan datang, saya kira ia sebagai satu pameran antarabangsa yang berjaya,” katanya ketika ditemui di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), semalam.

Tahun ini, 23 buah negara menyertai pameran yang terdiri dari rantau Asia Pasifik, Timur Tengah, Afrika dan Eropah dan suasana itu menunjukkan pameran anjuran Kerajaan Negeri Selangor sudah mendapat perhatian masyarakat dunia.

Lebih membanggakan, jumlah gerai pameran turut meningkat kepada 1,000 buah berbanding 400 pada tahun sebelumnya.

“Sambutan tahun ini lebih meriah berbanding tahun lalu bahkan keluasan ruang pameran juga ditambah kepada 11,000 meter persegi berbanding 6,000 meter persegi.

“Ia petanda baik serta menunjukkan Selangor sudah meningkatkan profil dalam perdagangan antarabangsa serta menjadi pintu gerbang ASEAN,” katanya.

Chang Kim berkata, persidangan ini lebih kepada usaha membina platform untuk ASEAN mengenali dunia luar dan negara luar mengenali ASEAN di samping mempertingkatkan profil Selangor sebagai pusat perdagangan dunia.

Menurutnya, walaupun pameran ini tidak memperlihat hasil secara langsung dalam tempoh singkat tetapi Selangor bakal menerima manfaat jangka panjang.

Terdahulu, SIBS 2018 disempurnakan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah yang berlangsung pada 6 hingga 16 September ini, dengan mensasarkan RM250 juta nilai transaksi.

Pameran ini turut merangkumi Persidangan Perniagaan ASEAN Selangor 2018, pada 6 dan 7 September, Ekspo Antarabangsa Selangor (6 hingga 9 September) dan Konvensyen Ekonomi Digital & Bandar Pintar Selangor (13 hingga 15 September).


Pengarang :