SELANGOR

Selesai penstrukturan air Selangor bukti kerjasama erat Kerajaan Negeri, Persekutuan – Azmin

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 5 SEPT: Penyelesaian penstrukturan semula bekalan air  Selangor membuktikan kerjasama erat yang berlangsung antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Antarabangsa, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Katanya, kejayaan itu sekaligus dapat menyelesaikan masalah air di negeri ini dan memberi perkhidmatan yang lebih efisien.

“Masalah ini dapat diselesaikan atas usaha Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari sekarang, beliau meneruskan legasi Kerajaan Negeri dengan semangat jiwa muda yang amat komited.

“Saya berasa amat bangga dengan khidmat prestasi beliau untuk menjamin legasi yang telus, dan ia dilakukan dalam tempoh singkat iaitu kurang darpada 100 hari pentadbirannya.

“Semua ini dilakukan demi menjamin kepentingan rakyat dan pengguna,” katanya yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Beliau berkata demikian ketika sesi ucapan usul pada hari kedua Mesyuarat Kedua (Pembukaan) Penggal Pertama Persidangan DNS Ke-14 Tahun 2018, di Dewan Annex, di sini.

Mohamed Azmin turut menjunjung kasih terhadap titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Katanya, beliau yakin kesemua ADN akan terus setia kepada perjuangan sekaligus membangunkan Selangor.

“Pendirian yang saya pegang selama ini adalah kerajasama erat, ia adalah faktor yang penting untuk menjamin sistem pencapaian yang baik bagi sesebuah negeri.

“Saya juga yakin bahawa pentadbiran pada hari ini akan terus berpegang kepada landasan dalam Al-Quran,” katanya.


Pengarang :