SELANGORWANITA & KEBAJIKAN

Sukarelawan JKM Hulu Selangor gotong-royong rumah asnaf

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BATANG KALI, 24 SEPT: Sukarelawan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Hulu Selangor mengambil inisiatif menjalankan aktiviti gotong-royong membersih dan mengemas rumah asnaf di Kampung Sungai Masin, di sini.

Asnaf terbabit, Amran Mohd Saad, 46, adalah Orang Kelainan Upaya (OKU) dan kini menetap dengan kakaknya.

Pegawai JKM, Muhammad Shaiful Harun berkata, seramai 30 sukarelawan turut serta dalam aktiviti gotong-royong itu, membabitkan kerja penggantian bumbung dan pintu serta mengecat dinding rumah.

Katanya, mereka turut membersih dan mengemas bilik bagi mengurangkan beban penghuni rumah itu.

“Asnaf ini adalah penerima bantuan bagi program Khidmat Bantu Di Rumah yang dilaksanakan sukarelawan melalui gotong-royong.

“Saya berharap dengan adanya inisiatif ini akan dapat membantu asnaf tersebut untuk menjalani kehidupan dalam suasana lebih selesa dan rumah yang bersih,” katanya pada program Jalinan Kasih Gotong-Royong Sukarelawan, di sini, Sabtu lalu.

Sebelum itu, perasmian program disempurnakan Ahli Dewan Negeri Batang Kali, Harumaini Omar.

Beliau memuji komitmen diambil pihak sukarelawan JKM bagi menjayakan program membantu golongan memerlukan.

Muhammad Shaiful berkata, pihaknya berusaha meringankan beban sebagai satu kerja amal, memandangkan asnaf terbabit turut mengalami kekangan kewangan dan tenaga.

“Justeru, kami amat mengalukan penyertaan orang ramai termasuk badan korporat dalam program sedemikian untuk dimanfaatkan kepada golongan kurang berkemampuan,” katanya.

 


Pengarang :