SELANGOR

Sultan harap Selangor sedia hadapi revolusi industri 4.0

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 3 SEPT: Kerajaan Negeri diterajui Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari, diharap bersedia menghadapi cabaran baharu dalam era revolusi industri 4.0 yang sedang berkembang di peringkat global.

Hasrat itu dizahirkan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam titah ucapannya, pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor (DNS) Keempat Belas 2018 di sini, hari ini.

“Beta menyeru Selangor bersedia menghadapi peralihan kepada Industri 4.0 yang sedang berkembang di peringkat global.

“Beta percaya peralihan ini dapat mengurangkan kos dan kebergantungan terhadap penggunaan tenaga buruh dan seterusnya dapat meningkatkan pendapatan negeri,” titahnya.

Sultan Selangor bertitah, era revolusi itu satu cabaran baharu yang perlu dihadapi seluruh negara dan baginda mengalukan sebarang inisiatif melalui penggubalan dasar, strategi dan kerangka perundangan untuk mendepaninya.

“Beta berkenan akan pelaksanaan dasar mesra pelabur dan kestabilan polisi Kerajaan Negeri menjadikan Selangor antara destinasi pelaburan utama, di Malaysia.

“Faktor ini dikukuhkan lagi dengan kemudahan infrastruktur dan utiliti lengkap selain wujudnya eko sistem kondusif menjadi pendorong kepada pelabur untuk memilih Selangor sebagai destinasi pelaburan mereka,” titahnya.


Pengarang :