SELANGOR

ADN Permatang mahu suri rumah punyai sumber ekonomi

OLEH NADIAH ZAMLUS

BESTARI JAYA, 11 OKT : Setiap wanita perlu mempunyai sekurang-kurangnya satu punca pendapatan bagi membolehkan mereka lebih selesa dan yakin, itu nasihat Ahli Dewan Negeri (ADN) Permatang, Rozana Zainal Abidin.

Katanya, kekuatan sumber ekonomi dalam kalangan wanita juga mampu membuat golongan itu lebih berkeyakinan bertemu orang ramai.

“Pasti ramai yang sedar, faktor kekuatan ekonomi juga membolehkan keutuhan dalam sesebuah institusi kekeluargaan.

“Jadi disebabkan itulah Institut Wanita Berdaya (IWB) ditubuhkan sebelum ini kerana mahu melahirkan lebih ramai wanita yang mempunyai kekuatan ekonomi serta menjadi lebih berani.

“Apabila wanita dalam sesebuah masyarakat lebih kuat, ia juga membantu merealisasikan kuota 30 peratus penglibatan wanita dalam mana-mana agensi kerajaan mahupun swasta,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Persidangan Kebangsaan Wanita dan Pembangunan Keluarga 2018 di Universiti Selangor (UNISEL) Kampus Bestari Jaya, hari ini.

Hadir sama, Naib Presiden dan Timbalan Naib Canselor (Pentadbiran, Perancangan dan Jaringan Global) UNISEL, Prof Dr Mohd Nor Nawawi serta 200 peserta daripada pelbagai agensi.

Pada masa sama, Rozana berkata, kejayaan sesebuah negara bukan sahaja bergantung kepada kejayaan ekonomi dan politik.

Namun, agenda masyarakat dan pembangunan sosial tidak boleh diabaikan kerana ia adalah nadi penggerak kepada bangsa.

“Program ini diwujudkan bagi menyedari fungsi dan peranan wanita untuk meningkatkan kualiti keluarga serta membina ummah yang lebih kuat.

“Institusi keluarga penting bagi kestabilan dan keutuhan masyarakat, oleh kerana itu, bagi mewujudkan generasi mampan dan berdaya saing, kita perlu menumpukan kepada keharmonian dalam kekeluargaan,” katanya.

 


Pengarang :