NASIONAL

Anwar mampu kembalikan kegemilangan Port Dickson – Syed Saddiq

OLEH NADIAH ZAMLUS

PORT DICKSON, 12 OKT : Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, beliau yakin Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal membawa kembali kegemilangan Port Dickson menjadi ‘mutiara’ di selatan negara.

Katanya, dahulu Port Dickson seringkali menjadi pilihan keluarganya untuk berkelah setiap kali bercuti.

“Tempat ini adalah tumpuan utama kebanyakan penduduk bukan saja dari dalam negeri, tetapi juga dari Johor Baharu dan Melaka.

“Tetapi apa yang kita lihat sekarang Port Dickson semakin hilang serinya, oleh itu kita perlu kembalikan zaman kegemilangan Port Dickson dengan memenangkan PAKATAN di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Ceramah Mega Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson di DUN Bagan Pinang, hari ini.

Syed Saddiq yang juga Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkata, beliau mahu momentum rakyat terus sama seperti Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

“Mari kita sama-sama memberi kemenangan besar kepada Calon PAKATAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

 


Pengarang :