SELANGORSUKANKINI

‘Battle For Charity’ berjaya kumpul dana kebajikan RM17,000

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 7 OKT: Perlawanan amal ‘Battle For Charity’ berjaya mengumpul dana hampir RM17,000 dan berjaya diagihkan kepada tiga badan kebajikan yang memerlukan.

Menampilkan tiga pasukan, Pilihan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI Selangor), Selangor Elite dan Mak Jemah FC, kesemua pasukan bertemu sesama sendiri dalam perlawanan yang dimulakan pada jam 8 malam di Stadium Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

MBI Selangor terlebih dahulu melakar kemenangan 2-0 ke atas Mak Jemah FC sebelum tewas 2-1 kepada Selangor Elite.

Manakala perlawanan antara Selangor Elite dan Mak Jemah FC berkesudahan seri 2-2.

Sejurus selesai perlawanan, Econsave yang diwakili pengurus, Daniel Iskandar menyerahkan sumbangan RM5,000 kepada Tabung Sinar Peduli Lombok manakala Ketua Pegawai Eksekutif MBI, YM Raja Shahreen Raja Othman menyampaikan sumbangan RM5,000 masing-masing kepada Rumah Kita dan Human AID.

Turut dilancarkan, Tabung Sulawesi Menangis bagi membantu penduduk Sulawesi yang berhadapan musibah tsunami minggu lalu.

Perlawanan amal ini turut diserikan dengan persembahan nyanyian Zizi Kirana dan Hanifah Md Hanafiah atau lebih dikenali sebagai Black.

Raja Shahreen yang ditemui berkata, ini merupakan kali kedua pihaknya bekerjasama dengan Sinar Harian dan usahasama itu akan diteruskan tahun hadapan.

“Ahamdulillah respon yang diberikan semua pihak juga baik dengan membeli tiket jualan RM5.

“Kita juga mengharapkan lebih banyak anak syarikat di bawah Kerajaan Negeri (GLC) untuk menyumbang ke tabung amal yang masih dibuka seminggu lagi bagi membantu golongan memerlukan,” katanya.


Pengarang :