NASIONAL

Contohi pemimpin berjuang tanpa guna wang dan kuasa

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 17 OKT: Pemimpin muda dinasihatkan supaya mencontohi perjuangan pemimpin lama yang menawarkan khidmat kepada rakyat tanpa perlu menggunakan wang atau kuasa.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, corak perjuangan itu harus dipertahankan kerana ia menjadi asas perjuangan parti sejak 20 tahun lalu.

“Saya mengajak anggota parti khususnya yang menawarkan khidmat, yang muda-muda ini supaya dapat ada kebijaksanaan untuk melihat bagaimana pengasas parti berjuang tanpa gunakan wang dan kuasa.

“Keadaan itu harus dipertahankan dalam perjuangan dan saya nak tegaskan KEADILAN terbentuk 20 tahun diasaskan perjuangan rakyat, menolak rasuah, politik wang serta salah guna kuasa,” katanya kepada media selepas mempengerusikan Pertemuan Tertutup Taklimat RMK-11 d Parlimen.

Mengulas mengenai hasil perbincangan Mesyuarat Biro Politik KEADILAN semalam beliau berkata, proses pemilihan parti turut dibincangkan secara umum.

“Kita bincangkan secara umum tentang proses pemilihan mesti telus dan terbuka dan sebarang aduan diterima mesti disiasat Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP),” katanya.

Sebelum ini, timbul dakwaan politik wang berlaku secara berleluasa di enam negeri yang sudah mengadakan pemilihan KEADILAN 2018.


Pengarang :