ALAM SEKITAR & CUACASELANGOR

JAS Selangor jalin kerjasama strategik, jaga alam sekitar

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 23 OKT: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor memperkukuh komitmennya dalam usaha memelihara kebersihan dan melestarikan alam sekitar menerusi jalinan kerjasama dengan lebih 100 rakan strategik, di seluruh negara, setakat ini.

Pengarahnya, Siti Zaleha Ibrahim berkata, pelaksanaan itu bertujuan merancang dan melaksanakan pelbagai dasar serta langkah lebih agresif bagi membantu penjagaan alam sekitar secara komprehensif.

Katanya, pembabitan rakan strategik amat penting dalam membantu Kerajaan Negeri untuk menjalankan program berbentuk kesedaran alam sekitar, demi memastikan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat, khasnya di Selangor.

“Sebelum ini, kami sudah menandatangani banyak perjanjian persefahaman bersama rakan strategik termasuk Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) untuk bersama mencapai matlamat pengurusan kelestarian alam sekitar.

“Selain itu, pendekatan baik ini secara tidak langsung dapat menyebarkan maklumat berhubung keadaan atau senario semasa alam sekitar melalui ceramah, pameran dan turun padang bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Seminar Pematuhan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009, di Hotel Concorde, di sini, hari ini.

Terdahulu, majlis menyaksikan termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) antara JAS Selangor dengan dua rakan strategik lain iaitu TNB Connaught Bridge Sdn Bhd dan T-Pot Electrical & Electronics Sdn Bhd.

Mengulas lanjut, Zaleha berkata, seramai 370 peserta terbabit menjayakan seminar berkenaan yang bertujuan memberi kefahaman berhubung pemakaian peraturan kualiti alam sekeliling dalam perindustrian efluen.

“Peserta didedahkan dengan sistem pengolahan efluen perindustrian dan pemantauan prestasi yang seharusnya mereka jalankan.

“Pada masa sama, program juga melibatkan perkongsian isu pematuhan oleh pihak industri terhadap peraturan kualiti alam sekeliling dalam perindustrian efluen.

Sehubungan itu, beliau berharap, pihak industri bertindak secara proaktif dengan meningkatkan kesedaran, selain mematuhi kehendak undang-undang ke tahap maksima.

Katanya, rakyat juga harus membudayakan sikap prihatin dan peka terhadap masalah alam sekitar dengan memastikan kualiti persekitaran sentiasa bersih serta terjamin.


Pengarang :