BERITA UTAMASELANGORSUKANKINI

Kaji tingkat kualiti Selangor Cyber Games

OLEH HAFIZAN TAIB

PETALING JAYA, 29 OKT: Kerajaan Negeri dan Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor akan mempertimbangkan cadangan meningkatkan kualiti dan tahap penganjuran Selangor Cyber Games, pada tahun depan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, ia berikutan kejayaan dan sambutan menggalakkan daripada pelbagai pihak khususnya pemain e-sukan.

“Saya sedang fikirkan untuk meningkatkan lagi kualiti Selangor Cyber Games, pada tahun depan sama ada dari segi hadiah atau tahapnya tetapi kita perlu meneliti beberapa aspek seperti kewangan.

“Penaja, Empire City juga bersetuju untuk melakukannya dengan kos sangat minimum dan kita juga sedia mempertimbangkan tawaran beberapa penaja lain yang berminat bekerjasama,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Penutup Selangor Cyber Games 2018, di Empire City, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, ia dijangka akan diadakan pada Oktober atau November tahun depan, namun tahap penganjurannya akan diteliti sama ada kekal seperti kini atau kembali pada tahap ASEAN seperti 2016.

“Ia bergantung pada kedudukan kewangan, penajaan dan tempoh masa diadakan. Jika kita mahu anjurkan pada tahap tertentu (lebih tinggi), maka kita perlukan tempoh masa lebih panjang.

“Bagaimanapun, setakat ini percubaan kita bermula 2014 berjaya membuahkan hasil, malah melahirkan pemain e-sukan berkualiti,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua penaja antaranya Mineski Events Team, Big Machinez dan Empire City yang memberi kerjasama baik bagi menjayakan Selangor Cyber Games 2018.

“Terima kasih juga kepada Astro eGG kerana menyiarkan Selangor Cyber Games secara langsung,” katanya.

Selangor Cyber Games 2018 mendapat sambutan meriah dengan penyertaan lebih 2,300 peserta dari seluruh negara.

Turut hadir, Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain; Pemangku Pengarah Eksekutif MSN Selangor, Mohamad Nizam Marjugi dan Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan Generasi Muda MSN Selangor, Jestin Raj Savarimuthu.

Acara juga disertai Pengarah Eksekutif Kumpulan Empire City, Dato’ Danny Cheah Joi Yong; Ketua Pegawai Eksekutif Mineski Event Team, Kenchi Yap dan Pengarah Mineski Events Team, Firdaus Hashim.


Pengarang :