NASIONAL

Kerajaan bentang kertas putih bongkar penyelewengan Felda

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 13 OKT: Kerajaan akan membentangkan kertas putih dalam sidang Parlimen akan datang, bagi membongkar isu penyelewengan membabitkan berbilion ringgit yang berlaku di dalam Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pembentangan itu akan dilakukan supaya peneroka Felda mendapat gambaran jelas terhadap semua perkara berlaku selama ini yang membawa kerugian kepada mereka.

“Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersetuju dengan sokongan semua menteri, untuk kita bentangkan satu kertas putih pada persidangan Parlimen akan datang untuk membongkar perkara ini.

“Apabila tanggungjawab ini diserahkan kepada saya, saya terkejut melihat Felda menanggung hutang berbilion ringgit dan ini harus diterangkan kepada peneroka Felda,” katanya dalam wacana Bicara Minda: Ekonomi Kesejahteraan Untuk Semua bersama moderator, Tan Sri Johan Jaaffar di ibu pejabat Media Karangkraf di sini, semalam.

Mohamed Azmin berkata, beliau bersama pengurusan Felda yang baharu akan melakukan sesi turun padang bertemu peneroka ke semua kawasan Felda apabila selesai sesi pembentangan itu bagi memberi penjelasan berkaitan isu berkenaan.

Berdasarkan laporan, Felda mengalami kerugian lebih RM2 bilion menerusi pelaburan di dalam Felda Global Ventures Holding Bhd (FGV) sehingga 30 Jun lalu.


Pengarang :