Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ)
PBTSELANGOR

Model perkampungan Orang Asal Temuan jadi tarikan pelancong

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 22 OKT: Rumah Contoh Tradisional Orang Asal Kaum Temuan menjadi mercu tanda ikonik, di Perkampungan Orang Asal Sungai Rasau Hilir Batu 14, Puchong, di sini, sebagai tarikan buat pengunjung dari dalam mahupun luar negara.

Terletak di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), ia antara lokasi yang pasti menjanjikan pengalaman baharu dan bermakna kepada orang ramai untuk melihat secara lebih dekat suasana kehidupan sebenar masyarakat peribumi, di negeri ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik MPSJ, Azfarizal Abdul Rashid berkata, pihaknya turut membantu penduduk orang Asal di kawasan terbabit menerusi projek naik taraf perkampungan untuk dijadikan produk pelancongan baharu.

Katanya, kerja pembinaan rumah contoh itu membabitkan peruntukan RM8,000 daripada Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor.

“Ini adalah kerana Lokasi perkampungan orang Asal terletak berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Putrajaya dan Kuala Lumpur.

“Malah, kedudukannya sangat strategik dan mempunyai akses mudah untuk ke tempat itu menggunakan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP),” katanya dalam kenyataan.

Azfarizal berkata, pihaknya turut menjalankan kerja menaik taraf membabitkan pemasangan lampu jalan, di perkampungan itu.

“Selain itu, kerja baik pulih padang bola dibuat dengan penambahan semula rumput.

“Kita juga mengadakan Program Jalinan Kasih yang dianjurkan Jabatan Pembangunan Masyarakat dengan memberikan sumbangan barangan keperluan harian kepada keluarga orang Asal di Sungai Rasau Hilir,” katanya.

Pada masa sama, beliau berharap masyarakat akan lebih menghargai kebudayaan dan kesenian kaum orang Asal di Malaysia, seterusnya dapat melahirkan perpaduan kaum selaras hasrat MPSJ melahirkan masyarakat madani, pada masa hadapan.


Pengarang :