BERITA UTAMAEKONOMISELANGOR

Projek Solar Berskala Besar pertama Malaysia di Kuala Langat beroperasi

SHAH ALAM 31 OKT: Pembangunan Projek Solar Berskala Besar (LSS) pertama dan terbesar di Malaysia mencapai tarikh awal (IOD) dengan tenaga pertama dijana ke Grid Nasional pada minggu lalu.

Tenaga Nasional (TNB) dalam kenyataan media berkata projek LSS itu dibangunkan di Mukim Tanjung 12, Kuala Langat, Selangor mampu menjana kapasiti penuh sebanyak 50 megawat (MW) sebelum akhir tahun.

Katanya, loji dengan 230,000 panel solar dan gentian kabel optik sepanjang 10 kilometer (km) dengan kuasa 132 kilovolt (kV) dibangunkan bermula Julai 2017 oleh anak syarikat milik penuh TNB iaitu TNB Sepang Solar Sdn Bhd di atas tanah seluas 98 hektar.

“TNB Engineering Corporation Sdn. Bhd. merupakan rakan kerjasama kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) bagi projek LSS,” katanya.

Projek LSS bukti aspirasi dan komitmen TNB ke arah pertumbuhan tenaga boleh diperbaharui (RE) di Malaysia.

Ia juga mencerminkan kecekapan dan kepakaran TNB dalam RE serta memiliki reputasi sebagai pemaju projek tenaga.

Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menetapkan sasaran sebanyak 20 peratus daripada tenaga elektrik negara akan dijana menerusi sumber boleh diperbaharui menjelang 2030.

Kira-kira 53 peratus penjanaan kuasa di Semenanjung adalah daripada arang batu manakala 42 peratus daripada gas asli dan lima peratus adalah hidro dan berbentuk RE.


Pengarang :