SELANGORSUKANKINI

SOPMA18: Kontinjen Selangor berjaya cipta kejutan

OLEH HAFIZAN TAIB

IPOH, 21 OKT: Kejutan dicipta dalam badminton dan olahraga dianggap kejayaan manis untuk kontinjen Selangor pada Sukan Orang Pekak Malaysia ke 20 kali ini.

Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Selangor (SelSDeaf), B Sarkunan berkata, walaupun hanya menduduki tangga kesepuluh dengan dua pingat emas, dua perak dan lapan gangsa tetapi kejayaan dicatat dalam badminton dan olahraga amat membanggakan.

“Walaupun tidak diletakkan harapan tetapi kita mencipta kejayaan dalam badminton kali pertama memenangi pingat iaitu satu perak dan gangsa, begitu juga olahraga dengan dua gangsa.

“Saya mengucapkan tahniah atas kejayaan ini,” katanya kepada Media Selangor selepas majlis perasmian penutup SOPMA 2018 di Dewan Seri Perdana, Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah di sini, semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, walaupun gagal menepati sasaran lima emas namun kontinjen Selangor tidak berasa kecewa kerana atlet telah bekerja keras melakukan yang terbaik selain dakwaan berlaku beberapa insiden di luar jangkaan.

Katanya, pasukan tenpin boling yang menjadi sandaran bagi mengumpul emas terbanyak Selangor, menunjukkan komitmen tinggi walaupun dipercayai banyak berlaku kesilapan teknikal dalam acara berkenaan.

“Begitu juga dalam bola sepak dengan kesilapan hampir sama apabila kita tersingkir di peringkat kumpulan apabila Kelantan melanggar peraturan,” katanya merujuk Kelantan yang didapati tidak mematuhi peraturan apabila menurunkan lebih dua pemain kebangsaan, Malaysia Deaf Tigers dalam perlawanan peringkat kumpulan ketika berdepan Selangor.

Bagaimanapun, katanya, kegagalan bola sepak ditebus pasukan futsal yang memenangi gangsa dalam acara kali pertama diadakan pada SOPMA ke 20 itu.

“Dengan kerjasama Kerajaan Negeri dan Majlis Sukan Negeri Selangor, kita akan meneruskan program latihan bagi meningkat prestasi atlet dalam menghadapi SOPMA 2020 dan kejohanan lain selepas ini,” katanya.


Pengarang :