NASIONALPELANCONGAN

Gili Trawangan di Lombok sepi

LOMBOK, 5 NOV: Destinasi pelancongan popular, Gili Trawangan, di Lombok Utara ‘sepi’ dengan jumlah pelancong berkurangan selepas gempa bumi melanda kepulauan itu, tiga bulan lalu.

Kawasan pelancongan yang sebelum ini meriah dengan kehadiran pengunjung tempatan dan luar negara kelihatan sunyi serta hanya dipenuhi penduduk tempatan.

Bercakap kepada BERNAMA, pengusaha bot laju, Laluh Juliado (he), 28, perniagaan dan pendapatannya berkurangan akibat kemerosotan jumlah pengunjung susulan bencana alam.

Beliau yang sudah menjalankan perniagaan berkenaan lebih 10 tahun berharap pengunjung akan membanjiri semula pulau berkenaan pada musim cuti sekolah nanti.

“Bukan tiada orang datang tetapi tidak meriah seperti sebelumnya.

“Kadang-kadang saya dapat pelancong, ada hari langsung tiada. Kebiasaannya sehari saya boleh buat dua atau tiga kali trip tetapi selepas musibah ini agak perit sekali,” katanya.

Terdahulu, BERNAMA mengikuti misi bantuan #peduligempalombok6.0 anjuran Global Peace Mission (GPM) Malaysia, di sini.

Seorang peniaga Nindi, 42, berkata mata pencariannya terjejas susulan kekurangan pelancong yang kemungkinan takut akibat gempa bumi yang meragut ratusan nyawa itu.

“Kami sendiri masih berasa trauma, kemungkinan orang lain juga seperti itu (trauma) untuk datang dan bercuti ke sini, namun dengan berniaga di sini sahaja saya dapat mencari rezeki.

“Keadaan pengunjung memang sangat berbeza daripada sebelum dan selepas gempa, selalunya pada waktu ini pengunjung sudah ramai sehingga bulan Januari,” kata wanita yang berniaga sayur-sayuran di pasar Gili Trawangan itu.

Sementara itu, Ketua Misi GPM Ahmad Hamizan Ahmad Horman berkata, selepas meninjau pulau berkenaan, beliau mendapati banyak kerosakan terutama di kedai dan pihaknya sedia menghulurkan bantuan jika diperlukan.

Katanya, sebagai sukarelawan, pihaknya sentiasa bersedia menghulurkan bantuan kepada pihak memerlukan.

Lombok kini dalam fasa baik pulih, selepas digegarkan dengan gempa berukuran 6.4 magnitud, pada 29 Julai lalu, disusuli gegaran kedua, pada 5 Ogos berukuran 7 magnitud.

Rakyat Malaysia yang ingin menyalurkan bantuan boleh membuat sumbangan dalam talian www.billplz.com/peduligempalombok atau deposit kepada akaun GLOBAL PEACE MISSION, Maybank (5642 2161 1602) atau Bank Islam (1402 3010 02922 4).


Pengarang :