NASIONAL

Lebih 3.5 juta pengunjung dijangka meriahkan MAHA 2018

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 22 NOV: Lebih 3.5 juta pengunjung dijangka hadir memeriahkan Pameran Antarabangsa Hotikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2018 yang akan berlangsung, di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS), bermula 22 November hingga 2 Disember ini.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dalam kenyataan berkata, MAHA 2018 turut mensasarkan jumlah dagangan dan pemadanan perniagaan sejumlah RM300 juta.

Manakala jumlah pembabiran belia pula dijangka meningkat lebih 30 peratus, berbanding edisi lalu.

Raung pameran MAHA 2018 itu membabitkan kawasan seluas 40,000 meter persegi atau lebih kurang enam kali ganda keluasan padang bola.

Difahamkan, pameran itu terbahagi kepada enam kluster pameran antaranya Agro Kulinari, Agro Pelancongan, Agro Belia, Agro Teknologi, Produk Asas Tani dan Jualan serta Agro Makanan.

Manakala pameran luar dewan pula dibahagikan kepada tujuh laman iaitu Laman Padi, Laman Ternakan, Laman Perikanan, Laman Nanas, Laman Herba dan Sayur, Laman Florikultur serta Laman Mekanisasi, Automasi dan Teknologi.

Menariknya, MAHA 2018 juga turut memperkenalkan segmen terkini seperti Sumber Rezeki Baharu, Teknologi Pertanian Terkini, Miracle Garden dan Festival kanak-kanak terbesar Lolababa.

Selain itu, mereka yang hadir tidak perlu khuatir dengan pengangkutan kerana MAHA 2018 menyediakan bas shuttle percuma dan turut terdapat 7,000 petak parkir khas buat pengunjung.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka akan menyempurnakan Majlis Perasmian MAHA 2018 pada jam 2.30 petang, hari ini.

 


Pengarang :