SELANGOR

MBI anjur taklimat Belanjawan’19 buat GLC

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 28 NOV: Pemerbadanan Menteri Besar (MBI Selangor) menganjurkan sesi taklimat berhubung Rangkuman Belanjawan Negeri Selangor 2019 (Belanjawan’19) kepada semua wakil anak syarikatnya (GLC), di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC).

Taklimat yang menyentuh asas penemuan penyelidikan dan kertas kerja berdasarkan perspektif pembangunan ekonomi 2019 disampaikan Penasihat Ekonomi kepada Dato’ Menteri Besar, Dr Dzulkifli Zakaria.

Katanya, penekanan yang diterjemahkan dalam Belanjawan’19 menyentuh keseluruhan potensi, di bahagian Utara, Sentral dan Selatan Selangor.

“MBI perlu memberikan penekanan kepada ekonomi digital, pembuatan bernilai tinggi, hab aeroangkasa, hab halal, pengangkutan dan logistik bersepadu serta Rumah Mampu Milik.

“Penstrukturan GLC bersistematik perlu bagi membolehkan model kerjasama terbaik dapat diwujudkan bersama Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau turut menyentuh isu capaian komunikasi kepada rakyat, pembangunan industri pelancongan agro, di samping potensi penciptaan peluang pekerjaan kerana Selangor memperlihatkan kadar pengangguran kira-kira 98,000 daripada jumlah keseluruhan pengangguran negara berjumlah 585,000.

Selain itu, Selangor juga perlu memberikan perhatian kepada usaha meningkatkan nilai eksport berbanding import.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif MBI Selangor, Raja Shareen Raja Othman, dalam ucapannya sebelum itu turut mengingatkan GLC Selangor supaya memberikan perhatian sama terhadap Belanjawan Persekutuan yang turut menyentuh beberapa perkara berkaitan negeri.

Ia termasuk isu pembangunan kawasan bebas cukai di Pulau Indah dan aeroangkasa di Lapangan Terbang Subang.


Pengarang :